SETELAH agak lama menyepi diri terutama ketika PKR dilanda kekalutan, akhirnya Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersuara.
Itu pun agaknya kerana beliau terpaksa, Jika tidak, Wan Azizah akan berusaha mengelak daripada menangani secara terbuka permasalahan serius yang melanda parti itu. Makin ramai pemimpin PKR dan berduyun-duyun ahli bertindak keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan.
Sayang sekali, Wan Azizah gagal mengupas kemelut dalam parti itu dan tidak mengambil kesempatan untuk menyuntik keyakinan baru kepada para penyokong serta pengikut PKR.
Ini mungkin disebabkan beliau kurang berpengalaman dalam menangani krisis. Lagipun orang yang paling berkuasa dalam PKR bukan beliau tetapi suaminya, Anwar Ibrahim. Awang percaya tangan dan minda Wan Azizah cukup terikat kerana terpaksa mengikut rentak Anwar dan Azmin Ali. Inilah yang akhirnya menjadikan beliau, presiden parti yang paling lemah.
Rasanya tiada parti politik di dunia, yang presidennya menjadi pak turut semata-mata.
Realitinya, ahli-ahli hanya melihat Wan Azizah dengan imej seorang isteri dan bukan sebagai pemimpin. Persoalannya di mana prinsip beliau, jika tidak pun sebagai pemimpin, setidak-tidaknya sebagai seorang insan yang mempunyai amanah?
AZIZAH antara lain menyebut tentang perlunya bangsa Melayu dan umat Islam tidak diperdayakan menerusi konsep tertentu. Apabila bercakap tentang diperdaya, sedarkah Wan Azizah, ramai ahli PKR merasakan mereka menjadi mangsa muslihat Anwar demi kepentingan peribadi. Isu moral Anwar, dalam diam makin terbongkar satu demi satu.
Tindakannya yang dilihat menggadai kepentingan bangsa selain ghairah mendapatkan campur tangan asing untuk menyelamatkan diri, membuatkan lebih ramai meluat. Begitu juga dengan strateginya menangguh-nangguhkan kes liwat di mahkamah, menampakkan beliau terdesak.
Siapa yang sebenarnya memperdaya siapa? Malah sudah menjadi bahan perbualan hangat bahawa Wan Azizah dikatakan turut sama bersubahat. Menurut mereka, Wan Azizah tahu apa yang berlaku dan apa sebenarnya masalah Anwar. Ramai ahli dalam PKR sedih kerana beliau tidak berani mendokong kebenaran hanya kerana mahu mempertahankan suami, yang berdepan dengan isu moral, integriti dan hipokrasi.
Wan Azizah berkata, dalam tradisi bangsa, Melayu amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain.
Mari semua rakyat Malaysia merenung sejenak sambil bertanya, kepada siapakah sepatutnya ingatan itu ditujukan. Kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan buat-buat tidak nampak.
Sebaliknya, lebih mengejutkan Wan Azizah menyatakan Anwar adalah pilihan tuhan untuk memimpin Malaysia dan tiada siapa boleh saingi kehebatannya. Jika itu yang Wan Azizah percaya atau mungkin terpaksa tuturkan atas arahan sesiapa jua, bersedialah untuk menerima hakikat. Biar sehebat manapun percaturan, Anwar juga boleh jatuh kerana ketentuan Allah. Apabila tiba saat itu nanti, janganlah pula menyalahkan pihak lain atau menuduh adanya konspirasi. Puncanya adalah nafsu termasuk untuk berkuasa atas apa cara sekalipun. Nafsu yang gagal diurus akhirnya makan tuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan