Jumaat, 3 Disember 2010

PKR vs Azizah Ismail dan Anuar Ibrahim

SETELAH agak lama menyepi diri terutama ketika PKR dilanda kekalutan, akhirnya Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersuara.

Itu pun agaknya kerana beliau terpaksa, Jika tidak, Wan Azizah akan berusaha mengelak daripada menangani secara terbuka permasalahan serius yang melanda parti itu. Makin ramai pemimpin PKR dan berduyun-duyun ahli bertindak keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan.

Sayang sekali, Wan Azizah gagal mengupas kemelut dalam parti itu dan tidak mengambil kesempatan untuk menyuntik keyakinan baru kepada para penyokong serta pengikut PKR.

Ini mungkin disebabkan beliau kurang berpengalaman dalam menangani krisis. Lagipun orang yang paling berkuasa dalam PKR bukan beliau tetapi suaminya, Anwar Ibrahim. Awang percaya tangan dan minda Wan Azizah cukup terikat kerana terpaksa mengikut rentak Anwar dan Azmin Ali. Inilah yang akhirnya menjadikan beliau, presiden parti yang paling lemah.

Rasanya tiada parti politik di dunia, yang presidennya menjadi pak turut semata-mata.

Realitinya, ahli-ahli hanya melihat Wan Azizah dengan imej seorang isteri dan bukan sebagai pemimpin. Persoalannya di mana prinsip beliau, jika tidak pun sebagai pemimpin, setidak-tidaknya sebagai seorang insan yang mempunyai amanah?

AZIZAH antara lain menyebut tentang perlunya bangsa Melayu dan umat Islam tidak diperdayakan menerusi konsep tertentu. Apabila bercakap tentang diperdaya, sedarkah Wan Azizah, ramai ahli PKR merasakan mereka menjadi mangsa muslihat Anwar demi kepentingan peribadi. Isu moral Anwar, dalam diam makin terbongkar satu demi satu.

Tindakannya yang dilihat menggadai kepentingan bangsa selain ghairah mendapatkan campur tangan asing untuk menyelamatkan diri, membuatkan lebih ramai meluat. Begitu juga dengan strateginya menangguh-nangguhkan kes liwat di mahkamah, menampakkan beliau terdesak.

Siapa yang sebenarnya memperdaya siapa? Malah sudah menjadi bahan perbualan hangat bahawa Wan Azizah dikatakan turut sama bersubahat. Menurut mereka, Wan Azizah tahu apa yang berlaku dan apa sebenarnya masalah Anwar. Ramai ahli dalam PKR sedih kerana beliau tidak berani mendokong kebenaran hanya kerana mahu mempertahankan suami, yang berdepan dengan isu moral, integriti dan hipokrasi.

Wan Azizah berkata, dalam tradisi bangsa, Melayu amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Mari semua rakyat Malaysia merenung sejenak sambil bertanya, kepada siapakah sepatutnya ingatan itu ditujukan. Kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan buat-buat tidak nampak.

Sebaliknya, lebih mengejutkan Wan Azizah menyatakan Anwar adalah pilihan tuhan untuk memimpin Malaysia dan tiada siapa boleh saingi kehebatannya. Jika itu yang Wan Azizah percaya atau mungkin terpaksa tuturkan atas arahan sesiapa jua, bersedialah untuk menerima hakikat. Biar sehebat manapun percaturan, Anwar juga boleh jatuh kerana ketentuan Allah. Apabila tiba saat itu nanti, janganlah pula menyalahkan pihak lain atau menuduh adanya konspirasi. Puncanya adalah nafsu termasuk untuk berkuasa atas apa cara sekalipun. Nafsu yang gagal diurus akhirnya makan tuan.

Perangkap Anuar kepada YAB PM

Kerajaan tidak perlu terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang sememangnya mendambakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dilaksanakan pada tahun hadapan. Soal pilihan raya umum tidak perlu terlalu dilayan oleh kerajaan kerana Barisan Nasional (BN) masih mempunyai mandat sehingga 2013.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja memalu gendang pilihan raya dengan harapan kerajaan akan terperangkap bagi membolehkan pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya digugurkan.Ini adalah taktik Anwar supaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengadakan pilihan raya umum pada pertengahan tahun depan bagi membolehkan beliau menggunakan isu tersebut untuk memburukkan kerajaan dan kepimpinan UMNO.

Anwar sengaja berbuat demikian kerana perbicaraan kes liwatnya dijangka tidak akan selesai pada tahun depan, jadi peluang itu akan dimanipulasikan sebagai kempen politik jika PRU-13 dilakukan pada 2011.

Dalam masa yang sama di ingatkan agar pemimpin UMNO supaya berhati-hati dengan kecenderungan pihak tertentu yang tidak kisah dengan isu pelantikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa.

Kit Siang Punya Cita-cita

Penasihat DAP, Lim Kit Siang hanya layak menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri jika pelantikannya diputuskan hasil pemuafakatan semua parti dalam pakatan pembangkang.

Justeru Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan, sesiapa sahaja termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhak membuat ketetapan itu jika tiada kesepakatan dibuat dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu. Sesiapa saja termasuk beliau (Anwar) tidak berhak isytiharkan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika kita (pakatan pembangkang) menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Lainlah jika sudah ada muafakat dan semua parti dalam pakatan pembangkang bersetuju untuk lantik beliau (Kit Siang) jadi Timbalan Perdana Menteri.Harun diminta mengulas pendiriannya sebelum ini yang tidak bersetuju dengan tindakan Anwar menamakan pemimpin DAP itu sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya mentadbir negara.

Harun tetap dengan pendiriannya berhubung isu itu walaupun bercanggah pendapat dengan Timba lannya, Datuk Ahmad Yaakob yang bersetuju Kit Siang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu yakin semua parti dalam pakatan pembangkang termasuk Pas akan dapat menerima pelantikan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pelantikannya mendapat persetujuan semua pihak dalam pakatan itu.

Malah, beliau juga percaya Kit Siang mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap berdasarkan prinsip pemerintahan Islam sekiranya pemimpin DAP itu diberi mandat menjadi pemimpin nombor dua negara kelak.