Selasa, 10 November 2009

WARGA ASING OH PENDATANG ASING

ALAHAI.......

11Nov...JIKA ada perkara yang paling mengganggu fikiran Serindik Merah sejak lebih dua dekad lalu, ia tidak lain membabitkan isu kebanjiran warga asing dan manipulasi golongan itu ke atas negara ini.

Kalau mahu mengira berapa banyak sudah Serindik Merah menggeleng kepala kerana kecewa dan marah dalam isu tersebut, rasanya tidak terkira. Kalau kepala anak patung mungkin sudah lama terputus.

Hari demi hari semakin banyak petunjuk yang meresahkan dan setakat ini pihak berkuasa masih kelihatan gagal menangani isu tersebut. Rumusan yang jelas – penguatkuasaan bermusim dan kita lebih banyak berdiam daripada bertindak.

Oleh sebab itu, Serindik Merah tidak hairan ada kajian menyebut Malaysia adalah negara yang paling diambil mudah oleh warga asing sama ada yang menceroboh masuk mahupun yang memalsukan dokumen dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan. Serindik Merah dan ramai rakyat Malaysia sudah berbuih mulut bercakap tentang hal ini. Ramai juga golongan dalam bidang strategik turut bimbang kerana kebanjiran warga asing bukan setakat menjadi hambatan sosial yang membimbangkan malah sudah menjadi ancaman keselamatan. Ada yang meramalkan saiz warga asing di negara ini termasuk secara haram (meliputi Sabah), berjumlah hampir enam juta orang. Warga Indonesia yang masuk secara sah sahaja hampir dua juta orang. Jumlah keseluruhan enam juta orang itu cukup besar, Serindik Merah harap maklumat itu tidak benar dan biarlah jauh lebih kecil daripada itu.

Dalam kita menghargai sumbangan warga asing kepada ekonomi, janganlah kita memperjudikan kedaulatan negara. Peluang pekerjaan rakyat tempatan juga semakin terhimpit kerana majikan lebih gemar menggajikan pekerja asing yang gaji mereka lebih rendah selain persekitaran lambakan mereka di tanah air ini menguntungkan majikan.

Suasana kebanjiran golongan itu juga boleh dilihat pada Hari Raya Aidilfitri. Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan ‘penguasaan’ warga asing di beberapa kawasan termasuk KLCC di ibu negara pada hari raya pertama dan kedua. Sebenarnya Serindik Merah yang berkesempatan memandu menyusuri jalan di hadapan KLCC juga terkedu. Hendak katakan terkejut – tidak – kerana ia adalah pemandangan biasa setiap kali musim perayaan. Masalahnya saban tahun makin bertambah jumlah mereka. Ramai sungguh warga Indonesia, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Nepal, India, China, Vietnam, Myanmar,sipipi merah dari Ubzek dan negara-negara Afrika menguasai lokasi utama di Kuala Lumpur pada hari itu.

Minggu lalu Serindik Merah berkesempatan melalui kawasan Kepong di pinggir Kuala Lumpur dan terkejut kerana ia sudah menjadi tumpuan utama warga Afrika yang hanya kelihatan berlegar-legar. Apabila diceritakan kepada sekumpulan rakan-rakan masing-masing memberitahu di kawasan mereka seperti di Nilai, Cheras, Damansara dan Puchong, juga menjadi sarang lelaki Afrika. Semua orang tahu, kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan dan bukan pelajar mana-mana IPT awam atau swasta. Mengapa jumlah mereka terlalu ramai?

Pergilah ke mana sahaja di kawasan Lembah Klang dan kawasan yang sama waktu dengannya kita tidak akan sunyi daripada kelibat warga asing dan sebahagiannya berada di negara ini dengan bebas walaupun tanpa dokumen yang sah. Salah siapa? Apakah kita mahu menyalahkan rakyat? Terus terang Serindik Merah katakan ini adalah antara kelemahan kerajaan, yang tidak mempunyai pelan strategik khas menangani isu tersebut.

Menurut seorang rakan yang merupakan pegawai kanan polis, ramai warga asing tiada dokumen sah dan beliau hairan keadaan sebegitu boleh menimpa negara. Katanya, polis tidak menang tangan untuk memberkas mereka kerana jumlahnya begitu ramai. Ini termasuk wanita dari China,Ubzek dan beberapa negara lain yang menjalankan kegiatan pelacuran di negara ini. Persoalannya lagi mengapa Jabatan Imigresen mudah membenarkan golongan warga asing ini masuk dan kemudian tidak mengambil langkah penguatkuasaan yang serius untuk memburu mereka sekiranya tidak pulang dalam tempoh yang ditetapkan? Dengar khabarnya, pelancong yang tidak pulang dan tinggal lebih masa, berjumlah ratusan ribu orang.INI BELUM LAGI DI KIRA KAHWIN DENGAN ANAK-ANAK DARA MALAYSIA...

Dalam hubungan ini, Serindik Merah tidak setuju langkah kerajaan melaksanakan VOA (visa waktu ketibaan) kerana ia hanya merumitkan keadaan. Syarat-syarat VOA yang ada agak longgar. Dasar ini ditetapkan oleh kerajaan, Jabatan Imigresen cuma pelaksana. Alasan bahawa VOA boleh meningkatkan kedatangan pelancong tidak boleh dihalalkan kerana akhirnya rakyat yang akan menanggung mudarat. Belum lewat untuk kita bertindak. Jangan sampai rakyat hilang keyakinan dan bertindak pula menghukum kerajaan.

KARAT DAH FIKIRAN NI....

CUBA SAHABAT DI LUAR SANA KOMEN.....

Tiada ulasan:

Catat Komen